HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Ogos 2017

Zahid sahabat susah senang saya, kata Najib

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyatakan sepenuh kepercayaannya terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sungguhpun mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menimbulkan keraguan terhadap timbalannya itu. 
 
Ujar Najib, beliau yakin Zahid tidak akan melakukan perkara seperti yang diperkatakan Dr Mahathir akhir-akhir ini.
 
Sambil mempertahankan Ahmad Zahid, Najib berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sengaja mahu melaga-lagakan beliau dan Zahid bagi memecah-belahkan Umno.
 
"Dia banyak tak betul, kita boleh lihat satu persatu, bila dia gagal melalui parlimen, pengundi tak percaya lepas itu dia cuba melalui Umno bahagian pun tak boleh sekarang ni dia cuba pulak nak melagakan saya dengan Datuk Seri Zahid, Timbalan Perdana Menteri.
 
"Saya pertahankan Datuk Zahid daripada mula sebab dia rakan saya, rakan sahabat dalam perjuangan, susah-senang dia saya yang tau.
 
"Dia dah bersama saya sejak tahun 1986, susah senang bersama. Saya pernah pertahankan Datuk Zahid di dalam bahagian dia, di Bagan Datoh (iaitu) Ketua Pemuda," katanya sewaktu berucap merasmilan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Shah Alam petang tadi.
 
Tambah Najib, adalah mustahil untuk Ahmad Zahid mengkhianati beliau sedangkan Dr Mahathir sendiri pernah menahannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia.
 
"Datuk Zahid ni satu ketika Ketua Pemuda Umno Malaysia, bertaraf Naib Presiden Umno tetapi dimasukkan di bawah  Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
 
"Sebab itu tak masuk akal lepas jadi Timbalan Perdana Menteri dia nak jumpa Dr Mahathir pula minta sokongan supaya Dr Mahathr gulingkan saya, tak mungkin dan tak betul dan fitnah sama sekali," katanya lagi.  
 
Dr Mahathir baru-baru ini menulis di blognya mendakwa Ahmad Zahid menemuinya untuk meminta sokongan bagi menggantikan Najib sebagai perdana menteri.
 
Lanjutan daripada tuduhan Dr Mahathir itu, Ahmad Zahid semalam menegaskan beliau bersedia untuk bersumpah laknat berhubung pendedahannya tentang konspirasi menjatuhkan Najib.
 
Akhbar melaporkan Ahmad Zahid mengakui mempunyai rakaman yang membuktikan dirinya tidak terlibat dalam sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Najib seperti yang didakwa pembangkang.
 
Naib Presiden yang juga menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno itu berkata, pertemuannya dengan seorang bekas pemimpin parti yang berlangsung pada 2015 itu juga atas keizinan Perdana Menteri.
 
 

Tiada ulasan: