HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Oktober 2017

DAP Janji Pelihara Islam: Sejauh Mana Orang Melayu Percaya?

Nuh Abqari

DAP


BEBERAPA hari lepas, Penasihat DAP Lim Kit Siang menyatakan janji beliau bahawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan terus mengangkat dan memelihara nilai dan ajaran sebenar Islam dan agama-agama lain sekiranya PH diberikan peluang untuk mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Dalam kenyataan tersebut, Kit Siang menyifatkan kerajaan persekutuan yang dibentuk DAP dan PH akan memastikan semua agama termasuklah Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh akan dilindungi berdasarkan prinsip keamanan, keadilan dan kesatuan yang dipromosikan kesemua agama tersebut.

Bukan Kali Pertama

Ini bukanlah kali pertama janji seumpamanya ditaburkan Kit Siang dan DAP. Malah, inilah janji yang ‘diratib’ saban tahun terutamanya apabila menyedari sentimen orang Melayu yang semakin lama semakin tidak menyebelahi mereka.

Akhir-akhir ini, popular benar perkataan ‘Taliban’ di pelbagai lapangan media. Perkataan ini digunakan sesetengah pihak bagi merujuk kepada fahaman ‘ekstrim’ dan ‘sempit’ yang diketengahkan sesetengah individu mahupun entiti politik. Ahli DAP, Dato’ Mohd Zaid Ibrahim umpamanya dilihat kerap menggunakan perkataan ini untuk merujuk kepada PAS dan golongan konservatif dalam UMNO.

Perkataan ini semakin popular berikutan beberapa isu kontroversi yang berlaku baru-baru ini seperti isu dobi ‘mesra Muslim’, pengharaman pesta arak dan yang terbaru, isu mendapatkan perkhidmatan gunting rambut dengan orang bukan Islam. Sebagai contoh, ketika menyambut Oktoberfest yang ke-45 anjuran Persatuan Jerman Malaysia di Pulau Pinang hujung minggu lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng menyifatkan kejayaan acara tersebut memperlihatkan bahawa negeri itu bukanlah negeri Taliban.

Islam Yang Bagaimana?

Nah, secara tidak langsung, Guan Eng juga nampaknya mahu memberitahu rakyat Malaysia bahawa sesiapa sahaja yang menentang penganjuran pesta arak selayaknya digelar Taliban. Mengambil kira bantahan luas yang dikemukakan umat Islam mengenai isu ini, Guan Eng juga sebenarnya secara langsung telah melabelkan umat Islam di Malaysia sebagai Taliban. Malah, beliau dengan bongkak memberi jaminan bahawa golongan ‘pelampau’ ini tidak akan berjaya di Pulau Pinang.

Jika benar DAP serius mahu membantu memelihara nilai dan ajaran Islam, maka kita bertanya nilai dan ajaran semacam apa yang mahu mereka jaga dan pertahankan? Apakah Islam yang mereka mahu angkat itu adalah seperti fahaman liberal yang ditonjolkan Zaid Ibrahim, Siti Kassim dan beberapa entiti lain seperti kumpulan G25?

Nilai Dan Adat Yang Terancam

Malang sekali melihatkan nasib umat Islam di Malaysia pada hari ini yang nampaknya secara perlahan-lahan terpaksa mengorbankan kepentingan nilai agama mereka terhadap permainan kotor beberapa kelompok tertentu. Masakan tidak, akibat jarum-jarum liberal yang mula menusuk masuk hatta ke dalam pemikiran sesetengah orang Melayu sendiri, kita sudah boleh melihat bagaimana sesetengah ‘pendapat’ mula dikeluarkan bagi meraikan dan menggembirakan hati golongan anti-Islam ini. Akhirnya kepentingan dan sensitiviti orang Islam jugalah yang terabai. Sungguh, semakin hari semakin banyak fitnah yang menimpa umat Islam di Malaysia yang rata-ratanya disebabkan permainan jahat sesetengah media yang tidak bertanggungjawab.

Lihat pula bagaimana kelompok ini menentang dan membantah keras pindaan Rang Undang-Undang (355) bagi tujuan pemerkasaan mahkamah syariah, satu perkara yang tidak ada kena mengena langsung dengan agama dan kehidupan mereka. Jika perkara sebegini pun mereka sudah berani halang dan sekat, lalu bagaimana orang Melayu mahu meletakkan kepercayaan terhadap DAP dalam memelihara nilai Islam?

AMANAH Dan PPBM Belum Boleh Diharap

Masuknya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara mungkin sedikit sebanyak melemahkan blok pembangkang khususnya parti-parti majoriti Melayu, tetapi tidak buat DAP. Ketiadaan Anwar ternyata memberikan mereka peluang untuk mendominasi pakatan itu. Biarpun di sana ada AMANAH dan PPBM dengan ditambah pula faktor kepimpinan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir, namun ianya masih belum cukup ampuh dan kuat untuk menandingi aura dan pengaruh yang dimiliki Anwar. Sememangnya AMANAH dan PPBM belum boleh diharap untuk menjamin kepentingan Melayu dan Islam di negara ini. Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahajalah kegagalan himpunan anti-kleptokrasi yang mereka anjurkan minggu lalu.

Menghadapi ujian ini, kita tidak dapat menafikan bahawa orang Melayu Islam kini bergantung sepenuhnya terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai benteng terakhir survival mereka. Mereka kini agak serba serbi terkebelakang khususnya dalam aspek ekonomi. Kekuatan politik mereka pula nampaknya semakin lama semakin terhakis yang tidak hanya berpunca daripada peningkatan penguasaan politik oleh etnik lain, bahkan lebih malang ianya turut berpunca daripada percakaran sesama parti dan orang Melayu itu sendiri.

Agama Kita, Tanggungjawab Kita

Sikap keras kepala DAP yang terus-menerus mengancam institusi Islam di negara ini seharusnya membuatkan umat Islam berfikir dua kali sebelum membuat sebarang keputusan untuk menukar kerajaan pada PRU kelak. Dalam keadaan blok pembangkang Melayu yang masih lemah, pastinya DAP adalah pihak yang paling untung jika kerajaan dominan Melayu yang ada sekarang ditumbangkan. Dengan agenda sekular dan anti-Islamisasi yang didokong mereka, kita yakin orang Melayu tentunya tidak mahu definisi nilai dan ajaran sebenar Islam akhirnya hanya ditentukan dan diterjemahkan oleh kelompok ini.


Tiada ulasan: