HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 Februari 2018

Agensi Indonesia dakwa tangan Adelina ada kesan gigitan haiwan



adelina


PETALING JAYA: Sebuah agensi kerajaan Indonesia yang menguruskan pekerjanya di luar negara mendakwa terdapat kesan gigitan haiwan di tangan pembantu rumah yang meninggal dunia di Pulau Pinang, Ahad lalu, lapor portal berita Kompas.

“Penyebab bekas luka di tangan kanan dipercayai bekas gigitan binatang dan tangan kiri akibat terkena cecair kimia,” kata Ketua Agensi Kebangsaan bagi Penempatan dan Perlindungan Pekerja Indonesia Luar Negara (BNP2TKI), Nusron Wahid dipetik portal berita itu.

Menurut laporan itu, maklumat tersebut disahkan petugas yang melihat sendiri mayat Adelina Lisao, 26, dan menemui pakar forensik Hospital Seberang Jaya serta pegawai polis dari Balai Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

“Setakat ini, punca kematian disebabkan anemia, kekurangan darah dan malnutrisi akibat diabaikan keluarga majikan dalam tempoh yang lama.

“Namun, hasil forensik itu tidak menemui kesan pukulan dan tiada luka dalaman,” katanya sambil menambah ada kesan luka tidak dirawat yang dijangkiti kuman dan menjadi punca kegagalan fungsi organ badan mangsa.

Ahad lalu, Adelina dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam selepas dipercayai didera majikannya.

Beliau dikesan cedera di tangan dan kakinya oleh seorang jiran yang prihatin.

Jiran itu berkata, Adelina dilihat tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler setiap hari hampir 2 bulan dan beliau enggan bercakap dengan mereka yang menyapanya.

Semalam, Polis menahan seorang wanita berumur 60 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes itu. Ia selepas penahanan 2 beradik sebelum ini, yang juga anak wanita terbabit di rumah mereka di Taman Kota Permai 2.
Amah mati didera: Warga emas ditahan polis
Amah tidur dengan anjing Rottweiler selama 2 bulan, maut

Tiada ulasan: