HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 Julai 2018

Bung Moktar tak faham kenapa rakyat derma Tabung Harapan


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Bung Moktar Radin mengaku tidak faham kenapa rakyat Malaysia masih menyumbang kepada Tabung Harapan yang bertujuan membantu membayar hutang negara.

Kata Bung Moktar, ini terutamanya apabila kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta sumbangan rakyat ketika ia belum lagi menunaikan manifesto pilihan raya mereka.

"Hutang negara menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah sebanyak RM1 trilion.

"Ada 10 hingga 20 negara dengan hutang lebih RM1 trilion, malah ada yang hampir cecah RM2 trilion, tapi tak ada daripada negara ini yang meminta dana daripada orang awam," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu.

Bung Moktar memetik Singapura, AS, UK dan Itali sebagai antara negara dengan hutang yang melebihi RM1 trilion.

Tambah Bung Moktar, kerajaan sebelum ini di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan masalah hutang yang sama namun mampu memberi rakyat BR1M.

"Kerajaan baru minta sumbangan orang awam ketika ia belum menunaikan janjinya. Tapi rakyat sudi menderma.

"Anda janjikan rakyat sesuatu, tapi belum tunaikan, sekarang minta derma daripada rakyat. Kenapa? Saya tak faham.

"Mungkin mereka suka kerajaan sekarang? Saya tak tahu. Kita cuma boleh agak, tapi lebih baik jangan agak.

"Atau mungkin generasi muda suka kerajaan dan pemimpin yang berjanji tapi tak tunaikan. Jika ini yang mereka mahu, pilihan raya umum (PRU) akan datang saya akan buat benda sama," katanya berjenaka.

Perkara itu, jelas Bung Moktar yang juga merupakan anggota parlimen Kinabatangan, akan menyebabkan lebih ramai pemimpin dan calon PRU akan membuat janji kosong pada PRU akan datang.

Katanya, Tabung Harapan tidak boleh disamakan dengan tabung untuk membantu Najib membayar kos ikat jamin perbicaraan mahkamah Najib 9 Julai lalu.

Tabung untuk Najib, katanya, didermakan oleh anggota dan penyokong Umno yang menyayangi Najib.

Bung Moktar berkata demikian sebagai merujuk kes perbicaraan Najib atas dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berhubung SRC International, yang merupakan syarikat subsidiari 1MDB.

Pada 9 Mei lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Tabung Harapan bagi rakyat Malaysia yang ingin menderma untuk membantu kerajaan membayar hutang negara..

Tabung berkenaan mengutip RM7 juta dalam tempoh 24 jam dan melebihi RM108 juta dalam tempoh sebulan selepas ditubuhkan.

Setakat 14 Julai, tabung itu mengutip hampir RM150 juta.

AGC putuskan tiada tuduhan ke atas Taib Mahmud

 
    PARLIMEN |  Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dibebaskan daripada sebarang salah laku oleh Pejabat Peguam Negara (AGC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan beberapa siasatan ke atas bekas ketua menteri Sarawak itu.

"Semua hasil siasatan sudah dirujuk kepada AGC untuk tindakan lanjut.

"Selepas meneliti semua bukti yang ada AGC memutuskan supaya semua kertas siasatan melibatkan isu itu ditutup pada 2013," katanya dalam jawatan di Dewan Rakyat hari ini.

Liew ialah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod pada 2013 AGC diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail yang berkhidmat sebagai peguam negara.

Terdahulu Liew menjawab soalan Kelvin Yii (HARAPAN-Bandar Kuching) yang bertanya sama ada SPRM akan mengutamakan dan mula menyiasat Abdul Taib atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah kerana isu itu dilaporkan media asing selama beberapa tahun.

Pada Mei lalu pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Francis Paul Siah menggesa ketua pesuruhjaya baru SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuka semula fail siasatan Abdul Taib.

Siah mengingatkan Mohd Shukri bahawa dia membuat laporan mengenai Abdul Taib kepada SPRM pada Mac 2011 namun tiada sebarang maklumat terkini mengenainya selepas tujuh tahun berlalu.



Awal bulan ini Mohd Shukri berkata SPRM memerlukan saksi atau bukti baru untuk membolehkan mereka membuka semula siasatan ke atas Abdul Taib.

Kata Mohd Shukri sebanyak 15 siasatan berasingan dijalankan ke atas Abdul Taib dan diserahkan kepada AGC namun pihak terbabit mendapati tiada dakwaan akan dikenakan ke atasnya.

Sejurus selepas dilantik menjadi perdana menteri untuk kali kedua Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat mengadakan pertemuan dengan Abdul Taib di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga menggesa sesiapa yang mempunyai bukti mengenai dakwaan rasuah di Sarawak supaya mengemukakannya kepada pihak yang bertanggungjawab.

Abdul Taib menjadi ketua menteri Sarawak antara 1981 hingga 2014.

ITBM tutup? CEO lega dengan kenyataan menteri

MALAYSIAKINI

   
Di tengah spekulasi penutupan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutifnya Mohd Khair Ngadiron kelihatan lega dengan kenyataan terbaru menteri berkaitan.

Khair berkata, kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memperkasa semua agensi bawah kementerian itu secara tidak langsung menghapuskan kebimbangan berkenaan.

ITBM antara agensi yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan, selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Majlis Buku Kebangsaan (MBKM).

“ITBM berterima kasih atas kenyataan dibuat Dr Maszlee ketika berforum dalam program Bicara Minda di Karangkraf, Shah Alam itu hari ini.

"Ia dilihat sekali gus menghapuskan persepsi dan kebimbangan banyak pihak berhubung khabar angin bahawa operasi ITBM berkemungkinan ditutup,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap tulisan penyumbang luar Malaysiakini, Mohd Harun Makmun, bertajuk ITBM ditutup? hari ini.

Tulisan itu antara lain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kemungkinan tersebut.

Sumber yang rapat dengan ITMB sebelum ini memberitahu Malaysiakini ITBM berdepan beberapa pilihan, sama ada ditutup, dikurangkan pekerja, digabungkan dengan DBP atau dijual, susulan gagal menjana keuntungan.

Pihak itu menjangkakan langkah terbabit mungkin berlaku dalam tempoh beberapa bulan lagi.




Bagaimanapun, pihak yang rapat dengan Maszlee pula berkata belum ada keputusan dibuat berkaitan masa depan syarikat berkaitan kerajaan itu.

Sebarang keputusan juga, kata sumber, dibuat dalam rangka memperkasakan DBP, khususnya berkaitan cadangan penyerapan institut itu sebagai satu cabang bawah badan berkenaan.

Sementara itu, selari dengan hala tuju kerajaan baru, Khair berkata ITMB akan menambah baik keseluruhan operasi dan menghasilkan formula perniagaan supaya mampu menjana keuntungan.

Bagaimanapun, Khair menegaskan walaupun ITBM sebuah syarikat tetapi ia distruktur untuk berfungsi sebagai “institusi yang tidak berteraskan pulangan material, sebaliknya menyasarkan pembangunan dan perkembangan intelektual bangsa”.

“Hal ini berikutan masalah kekangan modal yang dihadapi ITBM, kerana walaupun bersifat syarikat, namun operasi ITBM yang keseluruhannya mencakupi aktiviti berkaitan buku, sastera dan bahasa lebih berpaksi kepada tanggungjawab sosial yang cenderung menyasarkan pembangunan ilmiah serta tamadun bangsa,” katanya.


Menteri saran universiti jual nombor plat jana pendapatan

 
   
Menteri Pendidikan Dr Maszlee hari ini mencadangkan universiti awam di negara ini menjana dana sendiri melalui kaedah penjualan nombor pendaftaran kenderaan.

Kata Maszlee usaha itu boleh dilakukan jika pihak yang berkenaan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ada perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan. Melalui JPJ kita akan cuba, universiti berpakat dengan JPJ jual nombor plat.

“Contohnya saya graduan UM (Universiti Malaya) nak beli kereta, (boleh) beli nombor UM1000, jadi kita bayar kepada JPJ dan separuh diberi kepada Universiti.

“Dengan cara itu insya-Allah dapat menjana duit universiti," katanya di Shah Alam hari ini.

Anggota parlimen Simpang Renggam itu berkata demikian semasa menghadiri siri Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian.

Menurut Maszlee langkah itu boleh berjaya dengan bantuan lepasan sesebuah universiti.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bila atau bagaimana kaedah itu akan dilaksanakan.

Nak ambil data

Dalam pada itu, menyentuh isu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Maszlee berkata ia memang menjadi sebahagian daripada janji 100 hari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Malah kata Maszlee, turut terkandung dalam janji 100 hari itu ialah HARAPAN akan mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun ada beberapa aspek yang perlu diperjelaskan lebih lanjut, misalnya pembayaran semula hutang sehingga peminjam memperoleh gaji RM4,000.

“Bukan gaji kurang RM4,000 tak payah bayar, (cuma) mereka tak akan dipaksa bayar. Tapi kalau nak bayar, pada saya itu sikap terpuji.

“Dan ramai yang nak bayar ketika keadaan ekonomi negara kita seperti ini, janji kita adalah takkan paksa mereka,” katanya.

Menurut bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu lagi, ketika ini kerajaan sedang dalam proses mengemas kini data peminjam dan jumlah gaji yang diterima mereka.




Hal itu perlu, katanya, kerana tiada rekod berkenaan disimpan oleh kerajaan terdahulu.

Kata Maszlee, Kementerian Pendidikan akan mengadakan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi lain bagi menyelesaikan itu terbabit.

“Bukan tak ada data langsung, PTPTN pada waktu kerajaan lama tidak mempunyai data lengkap yang menyatakan gaji peminjam.

“Sekarang baru kita nak ambil maklumat daripada LHDN dan semua pihak terlibat,” katanya.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan sebelum ini menyatakan seramai 429,945 peminjam bebas daripada senarai hitam Jabatan Imigresen setakat Jun lalu.

Dengan pelaksaan berkenaan, seramai 1.8 juta peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat bayaran balik kini layak ke luar negara.

PTPTN juga memberi tempoh hingga 25 Julai ini kepada peminjam untuk mengemas kini pendapatan mereka sekiranya ingin memohon penangguhan balik wang pinjaman.


Usah marah nyamuk kelambu dibakar, kata Pemuda Umno pada Puad

MALAYSIAKINI
 
   
Seorang pemimpin Pemuda Umno hari ini tampil mempertahankan presidennya sekali gus menasihati seorang tokoh veteran parti itu, Datuk Dr Puad Zarkashi supaya berjiwa besar.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Mohd Shahar Abdullah berkata Puad tidak wajar mengeruhkan keadaan dan mewujudkan situasi tidak selesa dalam parti terbabit dengan mengeluarkan kenyataan mengkritik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Mohd Shahar tidak mudah untuk Umno bangkit seperti sebelum ini selepas terpaksa menjadi pembangkang selepas 61 tahun menjadi pemerintah.

Menurut anggota parlimen Paya Besar itu, langkah memulihkan Umno memerlukan iltizam yang tinggi, malah cara yang perlu diambil tidak boleh lagi sama seperti dahulu.

"Berilah peluang kepada Ahmad Zahid yang baru sahaja 19 hari mengemudi parti untuk menggunakan caranya tersendiri dalam menghadapi pelbagai isu yang sedang melanda Umno," katanya.

Mohd Shahar juga berkata Umno juga berdepan dengan kesukaran apabila akaun parti masih dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Justeru katanya presiden dan pemimpin atasan Umno terpaksa mengikhtiarkan kos lain untuk menggerakkan rancangan serta manifesto parti.

Pilih bersopan, bukan uar-uarkan

"Saya percaya Ahmad Zahid tidak pernah lari dari asas politik Umno, cuma keadaannya sekarang memerlukan pendekatan yang berlainan dan inklusif," katanya.

Siang tadi Puad yang juga bekas timbalan menteri mengeluarkan kenyataan agak keras terhadap Ahmad Zahid.

Antara lain bekas anggota parlimen Batu Pahat itu mendakwa presiden Umno kini gagal menjelaskan hala tuju parti kepada anggota bawahan.




Ahmad Zahid juga dikritik kerana masih memberi tempat kepada beberapa individu yang dianggap Puad tidak wajar lagi berada dalam arus perdana.

"Zahid mesti mengemukakan tawaran baru beliau untuk Umno dan rakyat.

"Dia sepatutnya bingkas dan pantas mengemukakan tawaran baru dan hala tuju parti setelah dipilih sebagai presiden baru Umno," katanya.

Sebelum Umno dan BN tumbang, Puad berkhidmat sebagai ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), sebuah agensi yang berada di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Bagaimanapun JASA dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Secara berlapik, Mohd Shahar juga menasihati Puad agar bersama-sama mentadbir parti secara bersopan dan bukan menguar-uarkan rasa tidak puas hati kepada umum.

Alasannya, bagi Mohd Shahar rakyat sedang memperhatikan setiap gerak-geri Umno.

"Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya berkias.


Syor tukar kakitangan PBT elak gejala rasuah


Suhaizan ketika menerima kunjungan SPRM negeri Johor yang diketuai, Azmi (dua, kiri).
Suhaizan ketika menerima kunjungan SPRM negeri Johor yang diketuai, Azmi (dua, kiri).
 
KOTA ISKANDAR - Speaker Dun Johor, Suhaizan Kayat mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini melaksanakan pertukaran perjawatan dan tempat kerja bagi pegawai dan kakitangannya bagi mengekang aktiviti rasuah daripada berlaku.

Beliau berkata, cadangan tersebut diutarakan berikutan pada masa ini tiada sebarang pertukaran perjawatan dan tempat kerja bagi pegawai dan kakitangan PBT di negeri ini sejak mula kerja hingga menamatkan perkhidmatan.

Katanya, berikutan itu, beliau khuatir ia akan mendedahkan pegawai dan kakitangan PBT di negeri ini kepada gejala rasuah.

“Justeru, saya cadangkan agar melakukan perubahan terhadap polisi di mana pegawai dan kakitangan tersebut boleh dipindahkan dari satu PBT ke PBT yang lain.

“Dengan itu, kemungkinan berlakunya rasuah dapat dikurangkan. Kita akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu PBT ini. 

“Pada peringkat awal ini, ia boleh dilaksanakan pada pegawai PBT dahulu dan apabila sudah stabil ia akan diteruskan kepada kakitangan di peringkat bawahan pula,” katanya dalam sidang media sempena Program Kunjungan Hormat Delegasi SPRM Johor ke Pejabat Speaker Dun di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar, semalam.

Hadir sama, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias dan Timbalan Speaker Dun Johor, Gan Peck Cheng.

Bersempena lawatan berkenaan, Suhaizan turut memuji SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas menangani rasuah di negeri ini.

Menurutnya, pada masa ini, dilihat semakin ramai kelompok yang mahukan integriti dan tidak suka rasuah sekali gus memberi perkembangan yang baik serta memudahkan urusan terutama dari segi kepimpinan baharu.

“Malah, saya juga galak wujudkan penambahbaikan prosedur di setiap jabatan kerana di Johor banyak jabatan, jadi SPRM sedia menjadi penasihat bagi mengekang aktiviti rasuah daripada berlaku di peringkat jabatan.

“Bagi mana jabatan yang tidak jelas SPRM sedia bantu untuk tambah baik dan inilah perancangan kita bagi mencegah aktiviti rasuah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Suhaizan turut menyatakan sidang Dun Johor bermula 9 Ogos depan.

Katanya, sidang Dun Johor kali ini akan ditambah baik bagi membolehkan rakyat mengikuti persidangan berkenaan sekali gus memberi peluang mereka menyumbang idea dan pandangan.

“Antara penambahbaikan yang dibuat bagi membolehkan rakyat mengikuti sidang Dun berkenaan termasuklah mengadakan siaran secara langsung.

“Bagaimanapun, perkara ini (siaran langsung) akan dibincangkan lagi sebelum diputuskan,” katanya.

Husam masih ada peluang

Wan Rahim
Wan Rahim

KOTA BHARU - Pengerusi PH Kelantan Husam Musa mungkin diberi peranan dalam sistem kerajaan Persekutuan khsususnya agensi dan perbadanan yang berkait dengan Pantai Timur.

Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi Amanah Negeri, Wan Rahim Wan Abdullah yang menjelaskan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed  pasti membuat keputusan dan persefaham yang baik dalam menentukan kedudukan Husam.

"Pakej ini ada persetujuan bersama Tun dan Husam, oleh kerana masa dua bulan ini fokus untuk susun kerajaan dan selesaikan pihak yang menang dahulu, di Kelantan dan Terenganu mungkin kemudian sedikit.
 
"Saya yakin sebelum 100 pemerintahan, Perdana Menteri akan isytiharkan jawatan Husam yang telah dipersetujui sebelum ini," katanya selepas hadir di majlis ramah mesra PH Kota Bharu disini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ketiadaan nama Husam dalam senarai perlantikan senator yang diumumkan Tun Mahathir baru-baru ini. Keputusan itu menyebabkan terdapat suara-suara diperingkat akar umbi yang tidak berpuas hati.

Wan Rahim yang juga Timbalan Pengerusi PH Negeri berkata, dengan pelantikkan Husam,  keresahan ahli akar umbi akan reda seterusnya membolehkan parti berjalan dengan lebih lancar.

Terdahulu beliau berkata, pelantikkan Ketua Bersatu Ketereh, Dr Mohd Radzi Jidin sebagai Timbalan Menteri Ekonomi tepat dengan kelayakan beliau sebagai bekas penyarah dibidang akaun forensik.

Beliau berkata, Radzi boleh membantu kerajaan khususnya menangani isu ekonomi semasa selain pelbagai skandal yang membelenggu negara.

"Dengan umur 41 tahun dan semangat orang muda  menjadikan pemilihan beliau itu adalah pilihan tepat, ramai dikalangan orang  lama seperti bekas Adun,  ahli parlimen dan exco.

"Beliau (Radzi)  ini masih segar  dan pengalaman dan keterlibatan dalam Umno sebelum ini  juga memberi kelebihan, saya yakin beliau boleh melaksanakan tugas yang diamanahkan, pemilihan tepat dan saya menyambut baik,"katanya.

Empat sebab utama perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dikenal pasti

bernama / astro awani
Empat sebab utama perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dikenal pasti
Kajian jangka panjang mengenai kesan perkahwinan di kalangan kanak-kanak dari segi kesihatan, reproduksi, psikologi dan kesejahteraaan dapat menjana hasil yang lebih tepat. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Empat faktor utama yang menyebabkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur di Malaysia ialah pendapatan rendah isirumah, kurangnya intervensi sokongan ibu bapa, kekurangan akses kepada pendidikan dan kekurangan akses kepada pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif (SRH).

Ini adalah hasil kajian yang ditauliahkan oleh UNICEF Malaysia dan disediakan oleh Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Mohd Al Adib Samuri, pensyarah dari Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM.

Noor Aziah memberitahu Bernama di luar Forum bertajuk 'Kajian Perkahwinan Kanak-kanak: Analisis, Pendorong dan Cadangan' anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan kerjasama UNICEF, di sini, pada Khamis.

Tidak harus ada pengecualian bagi had umur dalam undang-undang untuk semua kerangka perundangan di Malaysia bagi orang Islam, bukan Islam, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli dari Semenanjung Malaysia.

"Gesaan yang perlu diberi keutamaan ialah dalam perundangan, mengiktiraf bahawa kerangka perundangan yang bersifat sokongan diperlukan untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak, dan kerajaan juga harus mengkaji beberapa cadangan untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak di Malaysia," kata beliau.

Berdasarkan kajian yang menyelidiki perkahwinan kanak-kanak di kalangan orang Islam, bukan Islam, masyarakat pribumi dan komuniti pelarian di Malaysia, Noor Aziah menggariskan empat cadangan untuk menangani faktor utama yang mendorong perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Yang pertama, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi zakat negeri, perlu mewujudkan dana khas untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah untuk membayar kos tambahan persekolahan.

Yang kedua, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu menganjurkan seminar atau bengkel untuk ibu bapa kanak-kanak remaja

Ini untuk menekankan tentang pentingnya penjagaan kanak-kanak di sekolah, memastikan kanak-kanak mempunyai akses kepada maklumat dan perkhidmatan berhubung isu-isu SRH dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang menghadapi masalah Seksual dan Kesihatan Reproduktif.

Yang ketiga, Kementerian Pendidikan dan UNICEF Malaysia memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak, menggubal dasar yang efektif untuk memperkasakan kanak-kanak perempuan hamil yang menghadiri persekolahan dan menambahbaik kualiti dan kebolehsediaan pendidikan bagi kanak-kanak perempuan untuk menangani kurangnya akses kepada pendidikan dan isu kehadiran ke sekolah yang merosot.

Akhirnya, semua kementerian termasuk media harus bekerjasama bagi menangani isu kurangnya akses kepada pendidikan SRH dengan melabur dalam pendidikan seksual dan pendidikan reproduktif untuk kanak-kanak, menyediakan pendidikan komprehensif pendidikan kesihatan berasaskan sekolah, meningkatkan akses kepada maklumat kesihatan untuk kanak-kanak.

Noor Aziah (tengah) membentangkan kertas kerja pada Forum bertajuk 'Kajian Perkahwinan Kanak-kanak: Analisis, Pendorong dan Cadangan' yang berlangsung di ISIS, Persiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 19 Julai, 2018. --fotoBERNAMA
Noor Aziah (tengah) membentangkan kertas kerja pada Forum bertajuk 'Kajian Perkahwinan Kanak-kanak: Analisis, Pendorong dan Cadangan' yang berlangsung di ISIS, Persiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur. --fotoBERNAMA


Noor Aziah berkata pada masa akan datang, kajian dan penyelidikan perlu dijalankan mengenai perkahwinan kanak-kanak, termasuk data dan bukti kukuh mengenai kadar prevalen dengan statistik untuk menunjukkan angka dan sebab, dan ia juga harus mengandungi data melibatkan kehadiran gadis bawah umur 18 tahun di hospital dan klinik kesihatan daerah selepas berkahwin.

Kajian jangka panjang mengenai kesan perkahwinan kanak-kanak dari segi kesihatan, reproduksi, psikologi dan kesejahteraaan dapat menjana hasil yang lebih tepat, kata beliau.

Pada 6 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang memperhalusi cadangan menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dan keputusan mengenai perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan telahpun memulakan peranan masing-masing untuk mengkaji perkara itu.

Baru-baru ini, berita mengenai perkahwinan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun telah tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan berkata pasangan itu dianggap tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan dan lelaki berkenaan disiasat di bawah elemen "sexual grooming" yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. -- BERNAMA

Tengah khayal, buat maksiat

Tengah khayal, buat maksiat
Antara remaja yang ditahan dalam sebuah bilik di premis cuci kereta dalam Ops Bajet awal pagi tadi.

  KULIM - Tujuh remaja termasuk seorang perempuan berusia 17 tahun ditahan di sebuah premis mencuci kereta dekat jalan Pondok Labu, dalam Ops Bajet kira-kira jam 12.40 pagi, tadi.

Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), Anwar Shariffudin Mad Saat berkata ketika serbuan di lokasi berkenaan, lima daripada tujuh remaja berkenaan berada di dalam sebuah bilik.

Menurutnya, hasil serbuan juga telah menemukan air dan daun ketum serta peralatan menghisap dadah.

"Kita telah dapat aduan dari orang awam sejak dua minggu lalu, dan pemantauan telah dijalankan mendapati ada aktiviti maksiat di situ.

"Ketika serbuan dilakukan dua remaja daripada tujuh remaja berada di luar premis manakala seorang remaja perempuan sedang berkelakuan tidak senonoh bersama teman lelakinya dan empat lagi sedang dalam keadaan khayal dalam bilik sama.

"Kesemua remaja yang ditahan adalah berusia 17 hingga 24 tahun diserahkan kepada bahagian Narkotik untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 25(A)(B) disyaki berkhalwat dan Seksyen 39 kerana bersubahat,"katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, operasi yang disertai 12 anggota penguatkuasa itu turut menahan sepasang warga emas berstatus duda dan janda yang berkelakukan tidak sopan di tempat awam.

"Kira-kira jam 11.20 malam, kita telah ke kawasan Tasik Putra Kulim dan menahan sepasang warga emas berusia 57 dan 55 tahun.

"Ketika pemeriksaan dilakukan pasangan ini sedang berpelukan, dan bila disoal mereka menyatakan mahu berbincang mengenai rancangan perkahwinan dan baru mengenali sejak dua hari lalu,"katanya.

Tambahnya, pihaknya akan terus membuat pemantauan di motel dan hotel di sekitar bandar ini pada masa akan datang dalam usaha mencegah kegiatan maksiat ini.

"Kita akan teruskan buat pemantauan terhadap premis hotel dan motel bajet ini bagi mencegah
aktiviti maksiat di sini,"katanya

Guru wanita maut terjatuh dari tingkat lima pasar raya di Ipoh

Nazialita Geynna Maharan, Astro Awani
Guru wanita maut terjatuh dari tingkat lima pasar raya di Ipoh
Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, wanita itu ditemui terlentang di laluan kenderaan pasar raya terbabit oleh pengawal keselamatan. - Foto Astro AWANI
 
IPOH:Seorang guru wanita maut selepas dipercayai bertindak terjun daripada tingkat lima sebuah pasar raya dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, wanita itu ditemui terlentang di laluan kenderaan pasar raya terbabit oleh pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan insiden yang menimpa ibu kepada dua anak berkenaan.

“Mangsa, dipercayai terjun dari tingkat lima dan jatuh terlentang dan mati di tempat kejadian. Kesemua barang-barang milik mangsa tidak terusik.

“Menurut saksi kejadian iaitu seorang pengawal keselamatan, dia ada menegur mangsa untuk tidak berlegar di kawasan berkenaan tetapi mangsa terus bertindak untuk terjun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mohd Ali berkata berdasarkan maklumat suami mangsa yang berada di tempat kejadian, mangsa merupakan seorang guru di Pasir Putih.

“Mangsa juga difahamkan sempat menghantar anak ke tuisyen di Pekan Lama setelah selesai mengajar namun tidak pulang ke rumah.

“Mangsa dipercayai telah membawa kereta dan meletakkannya di kawasan parkir tingkat bawah sebelum berjalan kaki ke atas.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, wanita itu ditemui terlentang di laluan kenderaan pasar raya terbabit oleh pengawal keselamatan. - Foto Astro AWANI


“Suami mangsa turut memberitahu pihak polis bahawa beliau tidak menyalahkan mana mana pihak,” ujarnya lagi.

Mohd Ali berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan tiada unsur jenayah yang dikaitkan buat masa ini.

Khamis, 19 Julai 2018

Zahid beri 100 hari untuk PH bukti SST ringankan beban rakyat

THE MALAYSIAN TIMES
 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh 100 hari kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan bahawa pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu meringankan beban rakyat.

Ketua Pembangkang dan anggota Parlimen Bagan Datuk itu berkata tempoh 100 hari itu bermula sebaik sahaja SST dilaksanakan pada 1 Sept nanti.

Menurutnya, pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan memberikan peluang kepada kerajaan untuk membuktikan langkah itu berasas selain memberi peluang untuk mereka menunaikan janji semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita beri peluang kepada kerajaan untuk kurangkan kos sara hidup, dulu masa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kita kutip RM 48 billion tetapi SST hanya RM 21 billion.

“Secara teorinya, menurut mereka (kerajaan PH) peralihan semula kepada SST ini dapat meringankan kos sara hidup, kita tunggu sahaja,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin berkata SST akan diperkenalkan semula berkuatkuasa 1 Sept pada kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

Lim berkata rang undang-undang SST dijangka diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Isu LTTE: Polis mungkin akan panggil Ramasamy – Fuzi

THE MALAYSIAN TIMES
 

PETALING JAYA: Polis tidak menolak akan memanggil Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P. Ramasamy untuk diambil keterangan sekiranya perlu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan kes itu yang sebelum ini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kini diambil alih oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman.

“Setakat ini polis menerima 53 laporan dari seluruh negara berhubung isu itu termasuk daripada Ramasamy sendiri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Polis oleh Konsesi Plus Malaysia Berhad kepada Polis Diraja Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A. Thaiveegan hari ini dilaporkan berkata pihaknya telah merakam percakapan pemimpin kanan DAP tersebut berhubung dakwaan penglibatannya dengan pelampau Tamil berkenaan.

Ramasamy sebelum ini dilaporkan berkongsi gambarnya bersama anggota LTTE dikenali sebagai Vaiko atau V. Gopalasamy.

Melalui keterangan gambar yang dimuat naik di laman Facebook Ramasamy pada Sabtu lalu, kehadiran Vaiko di Pulau Pinang adalah sebagai memenuhi undangan majlis perkahwinan.

Mesyuarat Kabinet pada Jumaat semasa Parlimen bersidang

THE MALAYAAN TIMES
 

KUALA LUMPUR: Mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu akan ditukar ke Jumaat setiap kali Parlimen sedang bersidang, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Katanya beliau dimaklumkan oleh rakannya dalam pentadbiran kerajaan bahawa keputusan itu akan berkuat kuasa serta merta.

“Saya dimaklumkan tentang keputusan itu dan saya fikir ia adalah langkah baik oleh kerajaan berikutan penghormatan sewajarnya perlu diberikan pada sidang Parlimen,

“Bagi saya, secara peribadi, saya fikir jika seorang menteri itu tidak dapat hadir, sekurang-kurangnya timbalan menteri boleh ambil alih (hadir),” katanya semasa ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, beberapa anggota Parlimen (MP) pembangkang membangkitkan soal ketidakhadiran MP yang merupakan menteri dan timbalan menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada sesi tengah hari.– Bernama

Penjawat awam perlu berhati-hati terima hadiah – SPRM

THE MALAYSIAN TIMES
 

KAJANG: Penjawat awam perlu berhati-hati apabila menerima hadiah daripada pihak lain kerana undang-undang sedia ada boleh menyabitkan perbuatan berkenaan sebagai rasuah, kata Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jamil Mohd Dahlan.

Ia adalah satu kategori rasuah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sering tidak diendahkan penjawat awam, berkemungkinan kerana mereka tidak mengetahui atau tidak jelas tentang intipati yang diperlukan untuk membolehkan mereka dituduh, katanya.

“Ia sebenarnya adalah kes yang sangat mudah dibuktikan kerana tiga intipati saja diperlukan iaitu pegawai awam yang menerima hadiah, menerima hadiah yang bernilai dan menerima hadiah itu daripada orang yang mempunyai urusan rasmi.

“Saya berharap penjawat awam lebih berhati-hati kerana ada sesetengah daripada mereka bukan saja menerima hadiah tetapi mengambil gambar hadiah itu,” katanya pada forum ‘Hidup Penuh Erti Tanpa Rasuah dan Dadah: Perspektif Integriti’ di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan(AADK), di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Husin berkata ketagihan dadah sudah dikategorikan sebagai penyakit dengan Kementerian Kesihatan turut membantu untuk memulihkan penagih-penagih ini.

Di Malaysia, menurutnya terdapat dua pendekatan iaitu menggunakan pendekatan spiritualiti serta pendekatan menggunakan pemulihan dan perubatan.

Dr Abd Halim berkata negara kini berhadapan dengan penagihan dadah melibatkan ketidakfungsian psikologi akibat pengambilan bahan kimia yang merosakkan sistem saraf dan Kementerian Kesihatan sememangnya berusaha mempelajari amalan-amalan negara luar dalam menggunakan pendekatan perubatan.

“Kita juga melihat kepada penagih yang mengalami psikologi tidak stabil yang menyebabkan mereka mengalami halusinasi, skizofernia dan paranoid… yang tentunya memerlukan mereka dibantu,” katanya.

Menurut statistik AADK, jumlah penagih yang dikesan mengikut status kes dari Januari hingga Mei tahun ini ialah sebanyak 6,435 kes penagih baharu dan 2,656 kes berulang, mencatatkan pengurangan berbanding tempoh sama pada 2017, iaitu 7,982 penagih baharu dan 3,332 penagih berulang. Bernama

Elaun sara hidup nelayan diteruskan, kementerian tidak bercanggah dengan PM


Salahuddin Ayub

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub menegaskan tiada percanggahan antara pihaknya dengan Perdana Menteri berhubung pemberian bantuan elaun sara hidup nelayan.

Beliau memberi jaminan bahawa pemberian bantuan kepada semua nelayan tempatan sejak 10 tahun lalu itu akan diteruskan.

“Pihak saya sendiri telah berhubung dengan pihak Jabatan Perdana Menteri bahawa elaun ini akan kita teruskan kerana ia adalah peruntukan di bawah kementerian yang telah diberi sejak 2008.

“Jadi tidak ada apa-apa percanggahan di antara pihak kementerian dengan isu yang dinyatakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mungkin pada persepsinya menganggap ia akan menghapuskan elaun sara hidup nelayan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu memberitahu bantuan itu membabitkan RM300 sebulan bagi nelayan zon A dan RM250 untuk nelayan zon B, C dan C2.

“Elaun ini akan kita teruskan dan tidak jadi isu buat masa ini. Ini jaminan kerajaan kepada nelayan-nelayan yang menikmati elaun ini sejak 2008,” ujarnya.

Untuk rekod, terdapat 5,000 nelayan laut dalam dan 5,400 nelayan darat yang menangkap ikan di sungai dan empangan pada masa ini memperoleh bantuan tersebut.

Walau bagaimanapun, Salahuddin berkata, pihaknya akan memastikan penambahbaikan kepada mekanisme bantuan tersebut supaya benar-benar dapat membantu meringakan beban hidup nelayan.

“Pada pertimbangan kita memang nelayan sangat memerlukan terutama di musim-musim mereka tidak dapat untuk turun ke laut yang sudah pasti menjejaskan sedikit pendapatan mereka.

“Kita dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan kerja-kerja pemutihan untuk memastikan elaun ini benar-benar sampai kepada nelayan sebenar sebagaimana ditakrifkan oleh kementerian,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan pihaknya tidak mahu berlakunya ketirisan atau penyelewengan bantuan elaun tersebut dengan hanya diberi kepada golongan sasar yang tergolong dalam definisi nelayan seperti telah ditetapkan oleh pihak kementerian.

Selain itu, Salahuddin memberitahu nelayan mendapat insurans perlindungan di bawah syarikat insurans Etiqa bermula 15 Jun.

“Ini merupakan kelangsungan apa yang sebahagiannya yang diberi oleh pihak kementerian kepada nelayan di seluruh negara,” tambahnya lagi.

Daftar pengundi automatik, had umur kelayakan sedang dikaji



Daftar pengundi automatik, had umur kelayakan sedang dikaji
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti cadangan dan akan menjalankan kajian lanjut berhubung pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik selain menurunkan had umur kelayakan mendaftar sebagai pemilih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Viu Keong berkata cadangan itu diteliti kerana kedua-duanya akan melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada, perubahan proses dan prosedur kerja urusan pendaftaran pemilih serta keperluan sistem dan peralatan untuk pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik.

“Kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan-cadangan penambahbaikan daripada pelbagai pihak termasuklah cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur kelayakan mendaftar sebagai pemilih.

“SPR juga bertanggungjawab memastikan setiap cadangan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan jayanya serta menepati kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem daftar pemilih secara automatik dan mengurangkan umur layak mengundi daripada umur 21 tahun ketika ini.

Daim ke China sebagai utusan khas PM, kata menteri luar negeri


WAWANCARA | Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dihantar ke China sebagai "utusan khas" menjelang kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan bulan depan, kata Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam wawancara rasmi pertama selepas hampir dua minggu menjadi menteri, Saifuddin dilihat mengambil pendekatan diplomatik apabila ditanya berhubung kunjungan berkenaan.

"Utusan khas biasanya dihantar atas sebab-sebab khas bagi mencapai keputusan khas," kata Saifuddin kepada Malaysiakini ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Putra, semalam.

Walaupun pelbagai khabar angin berhubung kunjungan Daim ke China, perkara itu hanya disahkan selepas dia dilihat bergambar dalam mesyuarat bersama Menteri Luar Negeri China, Wang Yi di Beijing semalam.

Daim, yang kini mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan, juga telah menghantar surat daripada Dr Mahathir kepada Perdana Menteri China Li Keqiang di mesyuarat di Beijing.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan bahawa Wisma Putra mempunyai cara sendiri menguruskan hal ehwal diplomasi termasuk dalam memutuskan perkara yang boleh dikongsi dengan media.

"Kami akan maklumkan media tapi kami akan guna perkataan yang sesuai. Kadang-kadang, tak begitu mendatangkan hasil untuk kelihatan terlalu berkobar-kobar kerana apa yang perlu dicapai adalah hal lain," lata Saifuddin sebagai menjawab soalan berhubung kunjungan Daim yang dilihat diatur secara senyap.

"Adakah kami tidak maklumkan media? Kami akan maklumkan media. Dan kami sentiasa maklumkan media tentang apa yang kita lakukan dalam satu-satu isu.

"Tapi kita lebih suka secara sopan, diplomatik, berbanding terlalu berkobar-kobar," kata Saifuddin yang juga merupakan anggota parlimen Indera Mahkota.




Ketika ditemui pemberita pagi ini di parlimen, Dr Mahathir mendedahkan bahawa beliau menghantar Daim ke China untuk membincangkan semula pinjaman dan kontrak yang ditandatangani pentadbiran BN sebelum ini.

"Kerana kita dapati perjanjian-perjanjian itu terlalu menekan. Sebahagian daripada kos (Dalam projek-projek tertentu) tidak perlu, (jadi) bagaimana kita tangani bahagian-bahagian yang kita tidak perlukan," katanya.

Sebagai antara langkah kerajaan mengurangkan kos, Dr Mahathir mengumumkan penggantungan beberapa projek mega melibatkan syarikat China.

Projek yang digantung termasuklah Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) di Melaka bernilai RM5.35 bilion dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4.06 bilion.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kos sebenar ECRL dijangka mencecah RM81 bilion berbanding RM55 bilion yang diumumkan pentadbiran BN sebelum ini.

Media turut melaporkan semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas dokumen berhubung siasatan ke atas ketiga-tiga projek mega berkenaan.

*Laporan tambahan oleh Anne Muhammad


Pemuda Umno ingatkan HARAPAN jangan jadi munafik

 
   
Pemuda Umno mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa kegagalan menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya mereka boleh disamakan seperti perbuatan golongan munafik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, memungkiri janji termasuk dalam ciri-ciri berkenaan selain bercakap bohong dan mengkhianati amanah.

“Betul manifesto bukan al-Quran tapi ini janji kepada rakyat dan mana-mana agama pun meletakkan supaya menunaikan janji di tempat tertinggi.

“Gagal melunaskan janji dianggap sebagai munafik dan berdosa besar,” katanya dalam sidang media di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang "sedia menanggung dosa" akibat kegagalan HARAPAN menunaikan janji dalam manifesto mereka.

Dr Mahathir dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini berkata, HARAPAN tidak menganggap janji manifesto sebagai al-Quran atau Bible.

Katanya terdapat beberapa rintangan yang perlu diatasi terlebih dahulu sebelum janji manifesto dapat ditunaikan antaranya membabitkan aspek perundangan.

“Kalau kami berdosa, kami tanggunglah. Tetapi tidak anggap manifesto sebagai al-Quran atau Injil,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama berkata kegagalan kepimpinan HARAPAN menunaikan janji juga dianggap sebagai dosa besar dan mereka perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat di negera ini.

“Dosa ini ada dua, satu dosa kepada rakyat dan satu dosa kepada Tuhan.

“Bukan sekadar memohon keampunan daripada tuhan, mereka perlu meminta maaf kepada semua rakyat,” katanya.


PRK Sg Kandis: PAS belum ada perancangan bantu Umno

 
   
PAS belum membuat sebarang ketetapan dalam membantu gerak kerja Umno bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, meskipun parti itu bersetuju untuk tidak meletakkan calon, kata setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Itu tak ada dalam perancangan kita, kita belum fikir dan tak ada apa-apa keputusan mengenainya lagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas sama ada PAS akan turun membantu kempen Umno di Sungai Kandis pada PRK, Sabtu ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini berkata PRK Sungai Kandis mungkin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Harapan.

Kata Asyraf, ini kerana satu lagi parti pembangkang utama, PAS, sedia memberi laluan kepada Umno dan tidak akan meletakkan calon.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Takiyuddin berkata tindakan PAS tidak meletakkan calon bagi bukan bermakna partinya akan bekerjasama dengan Umno.

“Kita tak bertanding sebagai mana dalam PRK sebelum ini seperti di Batu Talam, Pahang, jadi, bukan bermakna kita bekerjasama memberi laluan kepada Umno itu tak ada.

“Dalam kes ini kita putuskan tidak bertanding dan kebetulan Umno yang bertanding, jadi mungkin atas dasar-dasar lainnya kita rasa di DUN Selangor itu memerlukan wakil daripada pembangkang, jadi biar satu sahaja parti pembangkang yang masuk.

“Kita tak bertanding PRK Sungai Kandis atas beberapa sebab, justifikasi,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada Umno, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.


Pemilihan PKR: Pertembungan Rafizi-Azmin jawatan timbalan presiden?

 
    Timbul spekulasi yang mengatakan bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli dijangka bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Sekiranya benar, ia akan menyebabkan pertembungan Rafizi dengan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika dihubungi, Rafizi memberitahu Malaysiakini bahawa dia belum membuat keputusan tentang perkara itu.

"Saya belum buat apa-apa keputusan," katanya ringkas.

Spekulasi itu timbul selepas artikel yang disiarkan The Star memetik Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut nama Rafizi ketika membincangkan rancangan masa depannya termasuklah menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ditanya sama ada jawatan timbalan perdana menteri akan disandang Mohamed Azmin atau Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar berkata, "Macam mana nama Rafizi tak ada?"

"Boleh petik saya, tapi tolong nyatakan saya katakan ini dalam nada bergurau," katanya sambil ketawa.

Susulan itu, spekulasi mengatakan Anwar lebih cenderung memilih Rafizi sebagai timbalannya dalam PKR.

Penganalisis politik Faisal Hazis berpendapat pertembungan antara Rafizi dan Mohamed Azmin akan memudaratkan PKR.

"Jika kedua-dua mereka bertembung, ia akan melemahkan dan memecah belahkan parti itu," kata Faisal yang merupakan penganalisis di Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Malaysiakini.

Konflik dalaman 

Tambah Faisal, pertembungan itu juga akan menjejaskan usaha menyatupadukan parti itu yang sebelum ini sedia terjejas akibat konflik dalaman.

"Anwar perlu menyatukan partinya kerana wujud persepsi PKR adalah titik lemah dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) meskipun mempunyai kerusi paling banyak. Persepsi ini disebabkan konflik dalaman," katanya.

Perselisihan antara penyokong Mohamed Azmin dan Rafizi mendominasi politik PKR sejak 2014 susulan Langkah Kajang.

Langkah Kajang dilihat sebagai pilihan raya kecil yang disusun oleh Rafizi untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar Selangor.

Pensabitan Anwar dalam kes liwat dan ketegangan dengan pihak istana Selangor akhirnya menyaksikan Mohamed Azmin menjadi menteri besar.

Bagaimanapun, ada kemungkinan pertembungan Rafizi dan Azmin itu tidak terjadi.

Beberapa pihak di dalam PKR dipercayai memberi gambaran agar Mohamed Azmin mencabar Anwar bagi jawatan presiden.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan media semalam berkata PKR perlu bersedia untuk tidak menghalang sesiapa bertanding sebarang jawatan termasuk presiden.

Dalam kenyataan itu, Zuraida turut menyorot kepimpinan Mohamed Azmin ketika menjadi menteri besar Selangor.

Mohamed Azmin sendiri berkata beliau belum membuat keputusan jawatan parti yang akan ditandinginya, sementara setiausaha politiknya Hilman Idham berkata menteri hal ehwal ekonomi itu tidak akan mencabar Anwar.

Pemilihan PKR akan bermula pada penghujung Ogos dan nama calon perlu diserahkan pada 27 Julai hingga 29 Julai.

Pengecualian SST hanya untuk pengeluar kereta, bukan pembeli

MALAYSIAKINI

   
Jabatan Kastam menjelaskan bahawa pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan penumpang, hanya diberikan kepada pengeluar kereta dan bukannya pembeli.

“Jabatan Kastam ingin menjelaskan bahawa kenderaan penumpang sememangnya dicadang dikenakan cukai jualan.

“Barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dalam senarai tersebut hanya merujuk kepada komponen yang tercurai bagi pemasangan kenderaan penumpang (Completely Knocked Down – CKD) sahaja.

“Apabila kenderaan siap dipasang daripada komponen-komponen CKD yang diimport tadi, kenderaan yang telah siap tersebut adalah tertakluk kepada cukai jualan,” kata Ketua Pengarah Kastam Datuk T Subromaniam dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa kereta akan dikecualikan daripada SST apabila sistem cukai itu mula berkuatkuasa semula pada 1 September.

Ini berdasarkan senarai barangan yang dikecualikan cukai seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam pagi tadi.

Butiran mengenai kenderaan penumpang itu disenaraikan di bawah perkara 87.03 pada halaman 269, yang bertajuk. "Kereta bermotor dan kenderaan bermotor lain yang direka untuk pengangkutan, termasuk kereta station wagon dan kereta lumba."

Halaman yang dirujuk itu boleh dicapai pada pautan berikut.


Surat terbuka untuk Dr M: Masih relevankah Sosma?

 
    ULASAN | Sehari selepas 9 Mei 2018 saya diwawancara oleh seorang wartawan. Beliau bertanya: “Tun M is leading us, what do you feel”. Saya terus menjawab: “Tun Dr M is a reformed man, he’ll lead us all. He embraces the reformasi agenda. I see that he’s into things with sharper gaze than many of us.”

Semalam, 18 Julai 2018, iaitu 69 hari selepas YAB Tun menerajui Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memenangi PRU14 atau selepas 69 hari saya ditanya oleh wartawan tentang YAB Tun. Hari ini saya terpanggil untuk menulis surat terbuka untuk YAB Tun.

'Trade Mark' gerakan reformasi adalah keazaman politik yang tinggi untuk menampilkan dengan utuh dan teguh identiti reformasi yang diperjuangkan.

Tinjauan saya menunjukkan menjadi suatu fenomena global apabila sesebuah gerakan politik dengan naratif gerakan reformasi sebaik saja diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, perkara pertama dan utama yang dilakukannya adalah membebaskan tahanan politik.

Saya berimaginasi perkara tersebut akan berlaku pada 9 atau 10 Mei 2018. Saya juga berharap kerajaan HARAPAN yang diterajui oleh YAB Tun akan melakukannya. Tetapi sehingga kini seorang pun tahanan politik tidak dibebaskan.

Lebih kecewa bila saya kenangkan sahabat-sahabat saya Yazid Supaat dan Mustaza Rahman terus meringkuk dalam penjara tanpa bicara walaupun gerakan reformasi atas nama HARAPAN sudah mentadbir Putrajaya selama 70 hari, tepat hari ini.

Saya amat berharap agar YAB Tun laksanakan cadangan dasar saya iaitu membina karektor kerajaan HARAPAN dengan bertindak segera membebaskan semua tahanan politik dan semua mereka yang ditahan tanpa bicara.

Rakyat berhimpun dalam kehairanan

Semalam telah berhimpun rakyat yang terkesan secara langsung apabila menghadiri forum dengan tajuk: “Masih Relevankah Sosma dalam Malaysia Baru”.



Sudah tentu terang dan nyata jawapannya adalah: "Sudah tidak relevan lagi".

Antara mereka ada yang dalam kehairanan mengapa masih ada lagi rakyat Malaysia diperlakukan dengan begitu zalim.

Saya ucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada penganjur, ahli-ahli panel, aktivis NGO, karyawan dan seniman, reformis, peguam hak asasi manusia, wartawan segala jenis media dan ahli-ahli keluarga mangsa Sosma yang telah sama-sama menjayakan forum dan diskusi tentang Sosma dengan semangat dan keazaman yang tinggi untuk menentangnya.

Desakan mereka amat jelas. Sebahagian mereka mewakili NGO-NGO baru-baru ini telah menubuhkan Gerakan Mansuh Sosma. Penggerak kumpulan tersebut adalah aktivis Abu Raed dan Mahathir Rahman, abang kepada Mustaza Rahman yang merupakan tahanan Sosma.

Mereka minta saya menjadi Penaung bagi Gerakan Mansuh Sosma. Saya telah terima permintaan mereka itu. Namun saya harap saya tidak perlu lama menjalankan tugas sebagai Penaung kerana percaya tidak lama lagi Sosma akan dimansuhkan.

Mereka mendesak kerajaan HARAPAN mansuhkan undang-undang zalim Sosma, Poca dan Pota.

Undang-undang yang membenarkan penahanan atau pemenjaraan tanpa bicara adalah undang-undang yang zalim. Semua undang-undang zalim mesti dimansuhkan. Dengan itu Sosma, Poca dan Pota hendaklah segera dimansuhkan.

Tamatkan legasi zalimi rakyat

Demi memenuhi komitmen terhadap agenda reformasi, saya syorkan kerajaan hendaklah mengambil langkah-langkah berikut:

1. Mengisytiharkan dalam minggu ini melalui sidang Dewan Rakyat bahawa Sosma, Poca dan Pota akan dimansuhkan pada 31 Ogos 2018.

2. Menubuhkan sebuah suruhan jaya atau jabatan bagi meneliti pengataan fakta perintah tahanan serta menyemaknya dengan rakaman folio soal-siasat polis ke atas tahanan. Suruhanjaya ini bolehlah mengkategorikan tahanan kepada kumpulan masing-masing seperti; bebas tanpa perlu ikat jamin, bebas dengan ikat jamin, atau dihadapkan ke mahkamah yang mana perlu kepada reman polis yang tempohnya tidak boleh lebih panjang daripada apa yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan Jenayah. Semua kerja pengkategorian hendaklah diselaraskan sehingga selesai seluruhnya sebelum 31 Julai 2018

3.Semua tahanan Sosma, Poca dan Pota hendaklah dibebaskan bermula pada hari ini, iaitu 19 Julai 2018 hingga selesai seluruhnya sebelum 31 Julai 2018. Ini tidak termasuk mereka yang di dalam kategori akan diputuskan kedudukan mereka oleh mahkamah.

4. Kerajaan tidak boleh menafikan hak mereka untuk diikat jamin.

5. Kerajaan bolehlah mendakwa mereka di mahkamah jika ada cukup bukti.

6. Kerajaan wajar membayar pampasan dan seumpamanya sebagaimana yang ditetapkan oleh suruhanjaya.


*SAARI SUNGIB Ialah ADUN Hulu Kelang dan merupakan pengasas Jemaah Islah Malaysia (JIM).

'Azizah tetap TPM walaupun bukan lagi presiden PKR'

 
   
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan kekal sebagai orang nombor dua dalam kerajaan walaupun mungkin tidak lagi menjadi presiden PKR, kata Nurul Izzah Anwar.

“Beliau akan terus menjadi timbalan perdana menteri,” katanya sambil menyifatkan banyak tugas sukar menanti timbalan perdana menteri wanita pertama itu.

“Saya menunggu-nunggu beliau menumpukan usaha terhadap peranan itu.”

Izzah, naib presiden PKR, bagaimanapun mengakui dinamik pentadbiran Pakatan Harapan akan berubah jika ibunya itu tidak lagi mengetuai PKR.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bapanya, menjadi presiden parti selepas pemilihan bulan depan.

Anwar pada Ahad lepas berkata akan bertanding jawatan nombor satu PKR setelah menjadi ketua umum sejak sekian lama.

Azizah dilaporkan bersedia memberi laluan kepada suaminya dengan melepaskan kepimpinan nya sejak dua dekad lalu.

Sehari selepas wawancara Malaysiakini dengan Izzah, muncul spekulasi terhadap beberapa pihak dalam PKR sedang melobi Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali untuk merebut jawatan sama.

Azmin, kini timbalan presiden, berkata belum memutuskan untuk bertanding jawatan apa.

Setiausaha politiknya Hilman Idhan pula berkata bosnya itu tidak akan mencabar Anwar.


Puad kecewa Zahid 'terus membisu'

MALAYSIAKINI

   
Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Datuk Dr Puad Zarkashi hari ini melihat susunan Majlis Tertinggi (MT) Umno pilihan presidennya tidak membawa perubahan yang sepatutnya.

Kata Puad, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga memberi ruang hanya kepada penyokongnya saja dan mengetepikan pemimpin yang tidak sehaluan.

Menurutnya pelantikan MT Umno itu tidak dibuat berdasarkan merit, prestasi dan komitmen.

"Sebab itu ada yang merasakan beberapa nama yang sepatutnya tidak ada lagi dalam arus perdana pentadbiran Umno masih dikekalkan kerana diberi jawatan yang lain.

"Sebab itu imej barisan MT Umno dilihat tidak menjamin perubahan yang diharapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan 10 orang untuk menganggotai MT Umno pada 14 Julai lalu. Seorang daripada mereka ialah bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Apandi mengumumkan penolakan pelantikan itu kurang dari 24 jam selepas namanya diumumkan.

Umno tak rasis

Ahmad Zahid juga menyerahkan jawatan setiausaha agung kepada Tan Sri Annuar Musa yang sebelum itu bertindak sebagai ketua penerangan.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula asalnya setiausaha agung, kemudian diberi tanggungjawab sebagai bendahari.

Bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula ditugaskan mengetuai Umno Perlis. Naib presiden ketiga Umno itu menjadi seorang daripada pemimpin yang bersikap agak lantang mengkritik kepimpinan parti sebelum itu.




Puad yang sebelum ini bercadang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu menambah Umno juga dilihat tidak ada pendirian jelas dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya langkah itu akan merenggangkan Umno dengan pertubuhan berkaitan budaya, bahasa serta cendekiawan lain.

"Sepatutnya Umno konsisten mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

"Umno tidak patut takut dilabel sebagai parti perkauman atau rasis. Agenda Melayu yang diperjuangkan Umno adalah inklusif dan bertujuan untuk menyamaratakan padang permainan.

"Umno tidak rasis. Yang rasis adalah DAP," katanya.




Puad juga mendesak Ahmad Zahid segera menjelaskan hala tuju Umno kepada akar umbi parti.

Ketika ini kata bekas anggota parlimen Batu Pahat itu anggota Umno masih terumbang-ambing dan kebingungan kerana Zahid terlalu perlahan untuk menjelaskan hala tuju parti.

"Jika Ahmad Zahid berterusan membisu dia akan dilihat sebagai pemimpin tidak berkemampuan untuk membawa perubahan dan memenuhi tuntutan Umno Bangkit.

"Zahid mesti mengemukakan tawaran baru beliau untuk Umno dan rakyat.

"Dia sepatutnya bingkas dan pantas mengemukakan tawaran baru dan hala tuju parti setelah dipilih sebagai presiden baru Umno," katanya.

Kata Puad Umno kini perlu memulakan langkah dari awal seperti yang dilakukan parti itu 72 tahun lalu.

"Umno perlu bermula dari kosong, iaitu parti yang tidak ada kuasa sebagaimana Umno bermula tanpa kuasa pada 1946," katanya.


Najib nafi arah tulis surat minta bantuan pada CIA

MALAYSIAKINI

   
Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak mengarahkan bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menulis surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) bagi memohon sokongan negara itu, menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bekas perdana menteri juga berkata beliau tidak tahu menahu berkaitan surat itu dan apa yang dilaporkan berkaitan surat-menyurat yang mencadangkan bertujuan mendapatkan sokongan AS selepas, bukan sebelum pilihan raya.

“Saya terkejut,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.

“Saya tidak tahu pun kewujudannya.

"Bukan semua surat kena lalu saya,” katanya.




Najib berkata, agensi kerajaan, termasuk yang berkaitan dengan hal ehwal risikan, mempunyai kuasa autonomi untuk menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan pertimbangan sendiri.

“Sementara saya tidak ada peluang untuk lihat surat itu, apa yang dilaporkan media mencadangkan surat bagi mendapatkan sokongan berterusan AS untuk kerajaan Malaysia jika BN menang dalam pilihan raya bagi tujuan kestabilan selepas pilihan raya.

“Apa yang dilaporkan surat itu tidak dilihat mendapatkan bantuan AS untuk menang pilihan raya – tetapi selepas pilihan raya,” katanya.

Najib berkata surat itu mungkin dihantar dengan niat memelihara kestabilan kerajaan selepas kerajaan jika terdapat kemenangan tipis.

“Mungkin media dapat mendedahkan keseluruhan surat itu supaya orang ramai, termasuk saya, lebih faham,” tambahnya.

Setelah melihat tiga halaman surat bertarikh 4 Mei kepada pengarah CIA ketika itu Gina Haspel, Malaysiakini sebentar tadi melaporkan surat itu meminta dukungan AS terhadap pentadbiran Najib jika BN menang mudah atau hanya menang satu kerusi.

Surat itu menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS sedangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu memimpin barisan pembangkang, sebagai “anti-Barat”.

Seorang jurucakap pentadbiran Mahathir mengesahkan kesahihan surat itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan Najib menyuarakan rasa kecewa dengan tuduhan Najib khianat pada negara dengan kewujudan surat itu.

“Sedangkan ia dilihat seperti dihantar dengan hasrat baik supaya negara ini tidak jatuh ke kancah sengketa awam atau demonstrasi besar selepas PRU14 jika kerajaan tergantung atau kemenangan tipis berlaku.

"Bukankah kerajaan sekarang mempunyai perkara lebih penting selain membocorkan surat perisikan ketenteraan yang sensitif di antara negara-negara kepada media untuk terus memfitnah Najib?

“Sebagai contoh, perkara lebih penting seperti mentadbir negara sekarang memandangkan kamu yang berkuasa," katanya kepada Malaysiakini.


Akaun Najib - pendedahan siapa terima, berapa?

MALAYSIAKINI

   
Pada 2 Julai lalu, pasukan petugas penyiasat khas mengumumkan bahawa lebih daripada 400 akaun bank dibekukan kerana disyaki menerima dana yang didakwa berasal dari 1MDB yang berjumlah RM1.1 bilion.

Akaun-akaun berkenaan didakwa menerima dana dari akaun bank peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebahagian daripada jumlah itu didakwa digunakan untuk kempen BN pada pilihan raya umum 2013.

Malaysiakini dalam laman mikro terkini, meneroka beberapa transaksi berkenaan.

Sejak tahun 2015, laporan antarabangsa telah mendedahkan pelbagai transaksi yang membabitkan akaun bank Najib ketika kerajaan BN ketika itu didakwa cuba menutup siasatan 1MDB.

Laporan antarabangsa mendedahkan sekurang-kurangnya empat akaun bank Najib didakwa menerima dana yang kononnya diselewengkan dari 1MDB dan SRC International.

Pada 2016, ABC News yang berpangkalan di Australia juga melaporkan bagaimana sebahagian daripada wang dari akaun bank Najib dibelanjakan. Ia mendakwa bahawa selain daripada tujuan politik, dana itu juga digunakan untuk percutian dan untuk membeli kereta-kereta mewah serta barangan kemas.

Laman mikro Malaysiakini memberi tumpuan khusus kepada penerima politik yang membabitkan satu daripada akaun-akaun itu.

Melalui akaun ini, dana AS$681 juta telah disalurkan pada tahun 2013. Jumlah ini dirujuk sebagai "RM2.6 bilion" berdasarkan kadar pertukaran apabila deposit itu pertama kali didedahkan oleh Sarawak Report dan Wall Street Journal pada tahun 2015.

Najib terus membela dirinya degan mendakwa bahawa wang AS$681 juta itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi manakala Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, dalam saman sivil pelucuthakan mendakwa bahawa dana berkenaan berasal dari 1MDB.

Transaksi membabitkan SRC International Sdn Bhd tidak didedahkan dalam laman mikro ini susulan perintah “tutup mulut” oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Najib didakwa menyalahgunakan RM42 juta daripada syarikat milik kerajaan itu. Bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.




Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya RM470 juta disalurkan ke pelbagai entiti politik melalui 102 transaksi, tidak termasuk bayaran kepada individu, antara April 2012 dan Ogos 2013.

Umno menerima bahagian paling besar, iaitu sebanyak RM417.4 juta atau 88.8 peratus daripada jumlah dana berkenaan. Penerima terbesar seterusnya adalah MIC yang menerima RM20.55 juta dan MCA pula mendapat RM16.5 juta.

Wang tersebut diedarkan kepada pelbagai bahagian, sayap dan juga sebuah perpustakaan parti.

Dari segi negeri, entiti politik di Selangor adalah benefisiari terbesar dengan jumlah RM60.25 juta diikuti oleh negeri Najib iaitu Pahang dengan RM37.73 juta.

Negeri-negeri lain adalah Perak (RM25.2 juta), Johor (RM27.2 juta) dan Kedah (RM15.8 juta).

Walau bagaimanapun, sebahagian besar dana itu disalurkan ke entiti politik di peringkat persekutuan dengan jumlah RM275.5 juta.

Terokai urus niaga di laman mikro Malaysiakini yang bertajuk "Wang songlap dari 1MDB atau derma? Tangan-tangan politik yang terdedah".


Zahid salahkan legasi Mahathir atas kekalahan BN

 
    
PARLIMEN | Ketua pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyalahkan legasi yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika kali pertama menjadi perdana menteri, sebagai sebahagian daripada punca kekalahan Umno pada PRU ke-14.

Dalam perbahasan titah Yang di-Petuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Zahid berkata Mahathir meninggalkan beban besar - termasuk projek yang membawa hutang kepada negara - kepada penggantinya selepas berundur pada 2002.

"Detik 9 Mei adalah satu tragedi, mimpi buruk. Namun kita harus akui, 22 tahun daripada 61 tahun pemerintahan kerajaan dulu (dipegang) orang yang memerintah (sekarang) - satu pertiga daripada tempoh itu.

"Perdana menteri selepas itu terpaksa menanggung legasi termasuk projek dengan hutang besar yang membebankan kerajaan dan rakyat," kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Bagaimanapun, katanya lagi, tiada perasaan marah dan tiada yang membangkitkan kebencian terhadap Mahathir.

'Minum todi'

RSN Rayer (DAP-Jelutong) kemudian bangun dan bertanya sama ada skandal 1MDB juga merupakan legasi Mahathir.

Rayer kemudian berulang kali meminta kebenaran Zahid untuk mencelah tetapi tidak dilayan.

Melihat perkara itu, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun dan berkata Rayer "minum todi" yang membangkitkan kemarahan anggota parlimen DAP itu.

Rayer kemudian menggesa Bung menarik balik kenyataan itu namun beliau enggan berbuat demikian.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menyertai pertelingkahan dengan membela Najib - berkata seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

Naib presiden Umno itu berkata ramai yang membuat keputusan awal, walaupun belum ada yang dijatuhkan sabitan bersalah dalam kes berkaitan 1MDB.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) kemudian menambah bahawa HARAPAN hanya mencari kesalahan pihak lain.

Ketika ditemui di lobi Parlimen kemudian, Zahid menggesa anggota parlimen HARAPAN agar meneliti peraturan mesyuarat.

"Mereka tidak boleh mencelah begitu saja, mereka bukan lagi pembangkang.

"Mereka kini kerajaan dan patut berkelakuan seperti kerajaan," katanya lagi.



Sg Kandis langkah pertama permuafakatan Umno-PAS?

 

ULASAN | Keputusan Umno buat pertama kali untuk menggunakan lambang parti itu sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pemimpin dan penganalisis politik tanah air.

Keputusan menggunakan lambang parti Umno pada PRK ini, tidak disenangi oleh parti komponen BN khususnya MIC, sehingga bekas presidennya Datuk Seri Dr S Subramaniam menegaskan bahawa Umno perlu berusaha sendiri menambat sokongan pengundi India sekiranya Umno tetap meneruskan cadangan menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang Barisan Nasional (BN).

Walaupun, Umno berkata keputusan partinya bertanding atas nama parti itu sendiri bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap Umno selepas dikalahkan pada PRU14 yang lalu, penulis berpendapat keputusan Umno bukan sekadar menguji kekuatan parti tetapi lebih daripada itu.

Sejak BN kalah teruk kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU14, gabungan BN berpecah daripada 13 parti komponen kepada tiga parti sahaja termasuk MIC, MCA dan Umno.

Persoalannya, mampukah Umno memberi cabaran kepada HARAPAN pada PRU15 dengan gabungan yang sedia ada?

Ramai sedia membuat pertaruhan BN tidak mampu menggugat kekuatan HARAPAN.

Alternatif hadapi HARAPAN

Maka, Umno perlu mencari satu alternatif untuk menghadapi cabaran HARAPAN.

Dan Penulis berpendapat PRK Sg Kandis bakal menjadi medan permuafakatan politik antara Umno dan PAS.

Jika melihat kenyataan-kenyataan pemimpin Umno berkenaan PRK Sg Kandis yang lebih memberi tumpuan kepada PAS berbanding MIC dan MCA, Umno kini sedia berjabat tangan dengan PAS sejak tahun 1971.

Yang jelas, agenda utama permuafakatan Umno-PAS atas dasar Melayu dan Islam.

Langkah itu akan ditafsir sebagai satu langkah permulaan ke arah memupuk kerjasama sesama Melayu dan Islam.

Keputusan PRU14, telah membuktikan bahawa perpecahan pengundi Melayu antara Umno dan PAS memberi kelebihan kepada HARAPAN yang hampir menyapu bersih majoriti pengundi Cina dan India.

Tidak dapat dinafikan, Umno masih mampu memerintah Kedah, Perak, Melaka sekiranya menjalin permuafakatan dengan PAS sebelum PRU14.

Walaupun, secara umum bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disalahkan bagi kekalahan BN, sokongan pengundi Melayu dalam sekitar 30 peratus kepada HARAPAN bukanlah sesuatu yang boleh dibangga.

Tawan kembali undi Melayu

Permuafakatan PAS dan Umno kini menjadi lebih mudah selepas kedua-duanya berada di pihak pembangkang.

Dengan adanya isu seperti penceramah kontroversi Dr Zakir Naik, Rang Undang-Undang 355, tindakan HARAPAN memberi beberapa jawatan penting kepada bukan Melayu, PAS-Umno akan mengambil peluang bersatu mengkritik pemerintahan HARAPAN.

Malah, terdapat desas-desus di media sosial bahawa pemerintahan HARAPAN mula ke arah liberal dan membelakangi 'Ketuanan Melayu'.

Inilah yang membuka peluang kepada PAS-Umno untuk menukar sokongan Melayu HARAPAN kembali ke pembangkang.

Penulis melihat PRK Sg Kandis bakal akan menjadi satu pemilihan bersejarah dALAM politik tanah air, jika Umno mampu menawan kembali pengundi Melayu kepadanya.

Yang perlu diakui adalah, secara purata, ramai pengundi Melayu masih samar dan tidak tentu arah dengan cara pentadbiran HARAPAN.


B NANTHA KUMAR seorang wartawan bebas.

Di hatinya cuma ada PERMATA

   

Kecoh sekejap tempoh hari apabila kerajaan baru gagal melunaskan janji untuk menetapkan 30 peratus menteri adalah daripada kalangan wanita.

Namun kerana banyaknya hal yang berbangkit dan dibangkit sejak penukaran kerajaan, kekecohan itu tenggelam dalam seribu hal yang lebih menular.

Begitulah malang wanita.

Lihat saja kerajaan Saudi yang hanya baru-baru ini membenarkan wanita mereka memandu kenderaan. Mereka ketinggalan dalam hal ini dek kerana kesalahan mereka mentafsir ayat-ayat Allah.

Juga atas kebodohan pemimpin mereka yang masih duduk dalam kegelapan budaya kaum mereka sendiri.

Malang kepada kita pula dalam hal kerajaan Saudi ini ialah bila perilaku itu disabitkan kepada Islam.
Islam mengangkat wanita ke tempat tinggi sebenarnya, dengan syarat kamu serius bersikap terbuka apabila berbicara.

Sementara negara barat pula - walaupun berasakan mereka memberi hak sama terhadap wanita - masih terus juga menjadikan golongan berkenaan sebagai objek perniagaan.

Tabah menepis tohmahan

Wanita dipergunakan untuk melariskan barang dagangan, dan yang malang dalam hal ini ialah apabila wanita berasakan mereka kuasa pembebasan milik mutlak mereka.

Malang wanita itu kadang-kadang datang bertimpa-timpa, namun selalunya akan ada sinar bahagia di hujung terowong gelap yang sering mereka lalui.

Kita ada beberapa contoh bagaimana wanita cekal ini akhirnya berjaya duduk di puncak jaya setelah berhempas-pulas mengharung pancaroba hidup.

Kita ambil kisah Timbalan Perdana Menteri kita Dr Wan Azizah Wan Ismail misalnya.




Dapatkah kamu bayangkan kesusahan seorang wanita naif dan lemah dalam semua hal dipaksa membesarkan anak-anak di samping menempis tohmahan yang dilemparkan kepada suaminya?

Kita melihat beliau perlahan-lahan menjadi kuat setelah diasak dengan pelbagai kekejaman yang pada waktu itu sepertinya tidak mungkin akan berakhir.

Pada awal pembabitan politik, beliau dilihat seperti berjuang di atas simpati. Memohon endah daripada penyokong suaminya dan sedikit demi sedikit beliau berjaya menjadi diri sendiri.

Hari ini beliau ialah contoh wanita kental yang melepasi ujian dan menjadikan beliau seorang yang disegani.

Diharap suaminya dengan rela hati, perlahan-lahan boleh ke tepi.

Difitnah dengan pelbagai cara

Lihat pula akan isteri perdana menteri kita.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali adalah gambaran ketenangan sejati. Ketika kamu semua mengelar suami beliau sebagai diktaktor, mahafiraun, mahazalim dan seribu tuduhan, beliau tetap tersenyum dan berdiri di belakang suaminya sambil tidak menggangu sesiapa kecuali menjadi comel.

Dan siapa boleh menafikan akan kecomelan beliau?

Siapa yang tidak bergenang air mata melihat betapa kuatnya wanita kecil ini memberi semangat dan mengajar kuat kepada si suami yang pada waktu itu menjadi manusia paling dibenci oleh musuh politiknya (baca: kamu).

Hari ini Siti Hasmah menjadi kesayangan semua. Penyokong mencintainya dan pembangkang mencemburuinya.




Dalam menyebut perihal "wanita-wanita sorga" tentu kita tidak boleh tidak untuk menyebut Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri kita yang kini sedang tenat menghadapi tuduhan berat.

Rosmah menjadi malang sejak sebelum suaminya bergelar perdana menteri lagi.

Amat menyedihkan perihal apa yang berlaku kepada ‘ibu negara’ kita itu. Beliau difitnah dengan berbagai cara. Dituduh mencuri suami orang, dikatakan pengamal ilmu hitam dan dibenci oleh saudara dan anak sendiri!

Apakah kesedihan yang lebih besar dari dibenci oleh anak sendiri...?

Mereka lalu mengumpul musuh-musuh beliau - yakni mereka yang tidak mendapat habuan atas kepentingan suami beliau - dan merakamkan berpuluh video benci dan dimuat naik ke YouTube untuk seisi dunia melihatnya.

Menceritakan ini pun mendatangkan sayu yang amat besar kepada kami.

Contoh pasangan bercinta

Tidak dapat dibayangkan penderitaan zahir dan batin yang dihadapi oleh wanita tabah berkenaan.
Setiap hari pasti ada saja cerita yang memburukkan beliau di media massa bahkan ianya menjadi kerjaya kepada sesetengah orang.

Malah kata-kata "menabung dari kecik" yang asalnya satu jenaka oleh entah siapa, dikatakan kononnya keluar dari mulut suci beliau.

Semoga mereka yang mereka-reka jenaka itu mendapat balasan setimpal, di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Dunia tahu betapa cintanya beliau kepada suami dan dunia juga tahu betapa mereka adalah contoh loving couple yang sempurna.

Dan kerana itu, mereka yang mahu dekat dan mendapat natijah baik daripada suami beliau telah menghadiahkan berbagai barang berjenama dengan harapan Datin Seri tersebut akan cuba mempengaruhi suaminya.




Kita semua tahu itu semua tidak berlaku kerana beliau bukan jenis begitu. Bukan jenis yang mencampuri urusan suami. Beliau seorang isteri yang sebaik-baiknya, mana mungkin berperangai melulu?

Semua yang dilakukan difikir dan difikir lalu difikir lagi sebelum membuat keputusan, sementara keputusan itu sendiri diambil setelah memikirkan pula kesejahteraan umat dan negara.

Malangnya hadiah-hadiah itulah yang sekarang ini datang menghantui mereka sekelamin.

Keiklasan beliau menerima hadiah sebagai tanda persahabatan mulia menjadi belati yang menikam belakang. Lukanya tidak nampak dipandang mata, sedang darah membuak menambah derita.

Tidak pernah sekali pun kita lihat beliau melenting apabila dituduh dan difitnah, dicaci dan dicebik.

Biasanya beliau akan berjenaka mengenainya sambil bernyanyi dan menari - dua kecintaan beliau yang tentunya menjadi penghibur lara yang sering menghantui.

Beliau ada album muzik untuk membuktikannya, dan khabarnya dijual dalam kuantiti yang banyak. Itu menjadi bukti beliau memang dicintai ramai.

Kami yakin beliau dengan rela memaafkan semua penista berkenaan. Beliau memang baik, pemaaf dan pembantu.

Ingin jadi pengganti

Kini beliau sedang diuji teruk. Suaminya difitnah tidak amanah dan kata-kata yang didengar adalah beliau akan didapati bersalah berdasarkan bukti-bukti yang ditemukan.

Belum pernah lagi ada wanita yang diuji sebegitu. Yang dituduh suaminya sedang dia yang memikul batu. Dihukum sebelum diputuskan oleh mahkamah. Dihina sepanjang hari. Dijadikan bahan ketawa.

 Penampilannya diherdik semua sedang dihatinya cuma ada PERMATA - iaitu pusat akademi yang giat melahirkan genarasi berminda tinggi.

Bahkan setelah digulingkan, beliau sempat berpesan agar PERMATA diteruskan. Begitulah mulia hatinya. Memikirkan nusa lebih daripada dirinya sendiri. Rela jasad dijadikan baja demi tumbuhnya pohon ilmu peneduh semua bangsa.

Andai kata Dr Wan Azizah dan Dr Siti Hasmah digabungkan menjadi satu, maka itulah Rosmah, wanita sorga yang patut menjadi teladan dan ikutan semua.



Kami mengharapkan beliau juga dilimpah rahmat yang sama seperti dua wanita di atas sana. Menjadi tabah dan cekal. Mengharung denai berlumpur dengan senyuman paling manis.

Sememangnya beliau memiliki senyuman bermadu yang membawa tenang siapa pun melihatnya.

Dada menjadi sesak, air mata mula bergenang dan imbuan segala macam kelembutan dalam keayuan semula jadi beliau tergambar di ruangan mata apabila melihat beliau memandang sayu suaminya di mahkamah tempoh hari.

Andai dibenarkan waktu itu, ingin saja kami jadikan diri ini sebagai ganti. Biar derita yang mengunung yang ditanggung beliau jatuh menghempap diri kami.

Setelah semuanya, kami yakin Rosmah memang kuat dalam menghadapi musibah ciptaan musuh-musuh politik beliau.

Tidak apa Datin Seri, ini adalah bala kepada mereka sedangkan kita tahu ini adalah ujian dari pihak paling tinggi demi untuk menaikkan Datin Seri ke darjat yang paling, paling tinggi.
Setelah derita, bahagia pasti tiba. Bertabahlah Datin Sri. IM4U...

NOTA PENGARANG: Tulisan ini bersifat satira dan semua gambar yang tersiar di sini adalah bertujuan untuk hiasan semata-mata.